KPS3014 (Pengurusan Pembelajaran)
KPS3014 adalah salah satu kos universiti yang saya ambil di UPSI pada semester ini. Kos ini memberi pendedahan awal terhadap bakal-bakal guru tentang pentingnya pengurusan pembelajaran daripada pelbagai aspek, di samping menjamin kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang lebih berkesan. Di bawah ini saya sertakan 11 tajuk utama yang kami telah pelajari dalam bentuk fail PDF yang telah dikongsikan oleh setiap kumpulan pembentangan rakan sekelas saya. Semoga perkongsian ini dapat sedikit sebanyak meningkatkan pengetahuan kepada para pembaca akan kepentingan pengurusan pembelajaran yang baik. Sesungguhnya, pengurusan pembelajaran yang terjamin sudah tentu akan membawakan hasil yang positif baik kepada pelajar, guru, ibubapa mahupun masyarakat. Selamat membaca!
Di bawah ini, saya sertakan pemahaman saya secara ringkas mengikut setiap topik-topik yang telah saya pelajari dalam kos ini.
Tajuk 1 - Pengurusan Murid
Topik ini menerangkan tentang pengurusan murid dengan mengambil kira jenis rekodnya dan konsep kesediaan murid terutama dari aspek kognitif, afektif dan psikomotor. Pengurusan murid wajar dititikberatkan untuk meningkatkan prestasi mereka dalam pembelajaran dengan cara memberi motivasi instrinsik (motivasi dalaman) mahupun motivasi ekstrinsik (motivasi luaran). Pentingnya pengurusan murid adalah sebagai maklumat lengkap mengenai kemajuan dan peningkatan murid dari segala aspek perkembangan potensi sebagai rujukan dan panduan kepada pihak sekolah.
Tajuk 2 - Pengurusan Bilik Darjah
Topik ini membincangkan mengenai strategi pengurusan bilik darjah berdasarkan 5 elemen utama iaitu fizikal, emosi, tingkah laku, pengurusan pembelajaran dan pengurusan sosial. Kelima-lima aspek ini wajar dipelajari kerana ia memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan kelancaran proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang lebih berkualiti dan berkesan.
Tajuk 3 - Pengurusan Sumber
Topik ini lebih berfokus kepada konsep pembelajaran yang berasaskan sumber untuk digunakan dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih efektif. Pengurusan sumber yang baik dipengaruhi oleh bagaimana guru mengendalikannya, infrastruktur (suasana pembelajaran yang kondusif), pusat sumber (sebagai rujukan tambahan) serta PdP (cara guru mengendalikan sumber/ bahan dalam prosed PdP). Wajarnya pengurusan sumber diwujudkan kerana ia mempunyai peranan dan fungsinya yang tertentu seperti sebagai media komunikasi, penggunaan rakaman dan penggerak penggunaan pelbagai media bagi memudahkan sekaligus memantapkan lagi prestasi murid dalam pelajaran baik dari segi akademik mahupun sosial.
Tajuk 4 - Pengurusan Bilik Pembelajaran
Topik ini menjelaskan berkaitan pengurusan bilik pembelajaran melalui 4 aspek utama iaitu jenis-jenis bilik pembelajaran, aspek-aspek keselamatan dalam bilik pembelajaran, strategi pengurusan bilik pembelajaran dan kesan-kesan pengurusan bilik pembelajaran yang baik terhadap perkembangan murid. Berbezanya bilik pembelajaran dengan bilik darjah ialah bilik pembelajaran adalah bilik-bilik lain di sekolah untuk memperluaskan ilmu pengetahuan murid dan setiap bilik tersebut mempunyai fungsi dan kegunaannya tersendiri dalam membantu pelajar. Bilik pembelajaran termasuklah makmal sains, komputer dan sebagainnya. Sesungguhnya, bilik pembelajaran ini sama pentingnya dengan bilik darjah kerana penggunaannya memberi kesan positif terhadap perkembangan murid baik dari segi sosial, emosi mahupun sahsiah.
Tajuk 5 - Pengurusan Tingkah Laku
Topik ini menitikberatkan faktor-faktor yang menyebabkan masalah tingkah laku khususnya di kalangan murid serta bentuk hukuman yang diguna oleh pihak sekolah dalam mengawal disiplin mereka. Daripada hal tersebut, cara untuk mengatasi masalah tingkah laku di kalangan murid juga dapat dikenalpasti bagi membolehkan guru memupuk ciri-ciri yang perlu untuk berhadapan dengan pelajar sedemikian. Sebenarnya, tingkah laku murid dipengaruhi oleh pelbagai faktor. Umumnya, ia disebabkan oleh persekitaran sekeliling, pengaruh media massa, kurangnya didikan agama, penderaan kanak-kanak yang mana boleh mengganggu emosi dan peribadi murid tersebut. Oleh yang demikian, selain ibubapa, guru sebagai ibubapa kedua murid haruslah memainkan tanggunggjawab mereka dalam mengawal disiplin murid dari aspek tingkah lakunya dengan melakukan tindakan yang wajar bagi membendung permasalahan ini.
Tajuk 6 - Pengurusan Penasihatan Murid
Topik ini menitikberatkan tentang betapa pentingnya bimbingan dan penasihatan dalam kalangan remaja terutamanya, kerana sedang meningkat dewasa. Konsep pengurusan penasihatan murid boleh dibahagikan kepada 3 iaitu bimbingan, penasihatan dan mentoring. Setiap konsep tersebut mempunyai fungsinya tersendiri dalam usaha untuk membantu murid khususnya dalam aspek pembelajaran dalam kehidupan. Perlunya pendekatan terhadap murid menggunakan konsep yang berbeza adalah agar mereka lebih menghargai akan usaha pihak lain dalam memastikan murid berada dalam kesihatan yang memberangsangkan baik dari segi mental mahupun fizikal.
Tajuk 7 - Pengurusan Pelbagai Budaya
Topik ini memaparkan kepelbagaian budaya dalam pendidikan iaitu merupakan satu proses atau strategi pendidikan yang melibatkan lebih daripada satu budaya, di mana boleh dilihat dari konteks bahasa, teknik atau ciri-ciri rasnya. Pembelajaran Pengurusan Pelbagai Budaya dianggap mustahak kerana ia dapat meningkatkan pemahaman, perasaan kesedaran, pengetahuan, interaksi kefahaman serta toleransi dalam diri setiap insan bagi memastikan budaya yang baik dapat dikekalkan dalam suatu masyarakat.
Tajuk 8 - Pengurusan Pelbagai Upaya
Topik ini memperincikan kemahiran mengurus murid berkeperluan khas (MBK) di kalangan para pendidik dengan memahami konsep kesedaran pelbagai budaya. Hal ini kerana, setiap kecerdasan adalah berasingan dan tidak semestinya saling berkait, kerana seseorang murid mungkin cemerlang dalam satu bidang kemahiran tetapi lemah dalam bidang kecerdasan yang lain. Pengurusan MBK dapat dilakukan dengan menggunakan 3 kaedah utama dengan mengambil kira aspek Pengajaran dan Pembelajaran (PdP), tingkah laku dan pengurusan diri. MBK juga wajar diberi pendidikan yang sesuai dengan keupayaan yang mereka ada kerana mereka juga berpotensi menjadi penyumbang kepada kemajuan negara jika diberi peluang untuk mengembangkannya dalam bidang pendidikan.
Tajuk 9 - Pengurusan Sekolah & Persekitaran
Topik ini mengongsikan tentang peranan sekolah serta persekitaran sekeliling adalah sangat mempengaruhi dalam leberkesanan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP). Hal ini dapat dilihat dari aspek bagaimana ia merangsang kesungguhan murid dalam pembelajaran serta persekitaran sekolah yang bebas daripada bahaya dan ancaman fizikal. Namun, dalam mengekalkan perkara tersebut bukanlah sesuatu yang mudah kerana akan wujudnya pelbagai cabaran dihadapi oleh sekolah serta persekitarannya sendiri. Oleh sebab itu, hubungan tiga dimensi di antara sekolah, ibubapa dan masyarakat adalah wajar untuk dipupuk bagi membanteras segala perkara negatif yang boleh berlaku sekiranya pengurusan dan persekitarannya tidak dikawal.
Tajuk 10 - Pengurusan Keselamatan Sekolah
Topik ini menyatakan tenntang kepentingan sistem pengurusan keselamatan di sekolah serta langkah-langkah yang boleh diambil oleh pihak sekolah dalam meningkatkan keselamatan sekolah. Kita sedia maklum bahawa sekolah merupakan satu institusi penting untuk semua orang menimba ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang. Setiap orang terutama yang bergelar murid akan mudah terdedah dengan kecelakaan baik dari segi fizikal mahupun mental di mana sahaja mereka berada, termasuklah di sekolah. Perkara ini akan seterusnya mengganggu fokus mereka untuk menimba ilmu pengetahuan dengan lebih efisien. Oleh hal yang demikian, pihak sekolah khususnya, wajib memainkan peranan dalam membendung permasalahan sedemikian dengan sentiasa peka dan mengambil langkah waspada dengan menjalankan tanggungjawab melakukan langkah-langkah keselamatan yang telah ditetapkan di keseluruhan kawasan sekolah bagi menjamin kesejahteraan warga sekolah.
Tajuk 11 - Pengurusan Program Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa)
Topik ini memberi pendedahan kepada murid agar lebih berpengetahuan dan berkemahiran menolak ancaman dadah dan gejala sosial melalui PPDa untuk mengurangkan penglibatan mereka dalam gejala-gejala sosial yang berlaku di sekolah. Selain itu, ia juga berkongsi tentang punca-punca utama penyalahgunaan dadah ddi kalangan murid serta cara membina ketahanan jati diri yang tinggi dalam kalangan murid menggunakan aspek J.E.R.I.S. Keberkesanan PPDa dikaji melalui analisis S.W.O.T (Strength, Weakness, Opportunity, Threats) dalam kalangan murid. Wajarnya PPDa ini dilaksanakan di setiap sekolah adalah bukan sahaja sebagai pendedahan awal kepada warga sekolah terutama pelajar berkaitan keburukan dadah tetapi juga menyedarkan kesan negatif yang boleh mengancam masa depan mereka.
Comments
Post a Comment
Greetings! If there's any questions you have in mind, feel free to share them in the comment section below :)